YB Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Ahli Parlimen Permatang Pauh
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Ahli Parlimen Permatang Pauh
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
YB Dato Seri,
PAKATAN HARAPAN PKR-DAP-PAN atau PAKATAN CURANG PKR-PAS?
Assalamu’alaikum WBT. Sesungguhnya segala puji adalah milik Allah semata-mata. Kami memanjatkan pujian kepada-Nya. Kami memohon pertolongan dan keampunan dari-Nya. Kami berlindung kepada-Nya dari kejahatan peribadi dan dari keburukan amal perbuatan kami. Orang yang mendapat petunjuk dari Allah, tiada siapa yang dapat menyesatkannya. Orang yang dibiarkan tersesat oleh Allah, tiada siapa yang dapat memberi petunjuk kepadanya. Kami mengaku bahawasanya tiada tuhan kecuali Allah, tiada sekutu bagi-Nya; dan kami mengaku bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasul Allah.
2. Surat terbuka ini kami tulis bukan sekali-kali kerana mahu mencari perselisihan dan jauh daripada maksud permusuhan. Tetapi hanya semata-mata hendak meluahkan kegusaran hati kami terhadap suasana politik yang dilihat semakin bercelaru kebelakangan ini. Sejak krisis MB Selangor tercetus lebih setahun yang lalu, nampak keadaan semakin merimaskan dari hari ke hari di mana parti-parti pembangkang yang saling bermuafakat dalam PRU-13 telah terlibat dalam sengketa sesama sendiri hingga berlaku kemelut demi kemelut yang tidak kunjung padam.
3. Kami bukan penulis politik atau media yang mengambil kesempatan dari krisis politik sebagai bahan yang boleh diulas dan diperniagakan untuk mencari makan. Bukan! Sekali-kali bukan. Kami hanya mewakili golongan bawahan yang tidak punya apa-apa kepentingan sama sekali dalam politik kepartian. Ini adalah suara hati golongan marhein yang sayangkan negara dengan ikhlas mengharapkan suatu perubahan politik yang mampu memulihkan ekonomi negara serta mengembalikan kesejahteraan rakyat seluruhnya.