Bhai .... izinkan gua menulis dalam ayat skema skali lagie sebagai menyanggah tulisan Mashitah Ibrahim.... pohon keizinan semua....
Puan Mashitah Ibrahim.
Tulisan Puan yang termuat di dalam akhbar Sinar Harian (dalam talian) pada hari ini adalah di rujuk. Sekali lagi Puan menampakkan kedangkalan ilmu dan pandangan dalam menghuraikan satu-satu hujah dan pada pandangan saya ianya tidak melambangkan status kelulusan akademik yang Puan miliki.
Untuk pengetahuan Puan, saya tidak melihat berapa ratus helai kertas transkrip akademik yang Puan miliki melainkan saya melihat dari kacamata yang lebih luas lagi. Tidak guna kalau kita ada beratus helaian transkrip akademik dan sijil tetapi pandangan kita terlalu sempit dalam memerhatikan dan menghuraikan keadaan sosial masyarakat Malaysia.
Puan mungkin jarang sekali turun padang berjumpa dengan masyarakat marhaen yang hidupnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Malah mungkin juga kaki Puan sudah lama tidak menginjak lecah dan becak kampung dan desa. Puan mungkin juga tidak pernah merasai keperitan hidup dalam negara Malaysia ini.
Puan, masyarakat kampung dan desa memang jarang sekali mengamalkan isu perkauman. Saya tahu Puan dibesarkan dalam lingkungan majoriti masyarakat Melayu dan jarang sekali berinteraksi dengan kaum lain. Saya dibesarkan dalam lingkungan majoriti masyarakat berbangsa Cina dan India malah ramai juga warga Malaysia berbanga Sikh dalam lingkungan 40 buah rumah dari rumah saya. Oleh yang demikian, saya diajar dari kecil bahawa semua 40 buah rumah di kiri dan kanan rumah ayah saya adalah jiran yang ditentukan haknya oleh Allah Taala dalam Al Quran.
Mereka berhak dihormati malah mereka berhak mendapat layanan yang sama rata sebagai jiran. Saya diajar bahawa tidak boleh sama sekali menyakiti hati mereka (biarpun mereka berlainan agama dengan saya) kerana jika saya berbuat demikian, maka sesungguhnya saya mengingkari arahan Allah Taala iaitu berhubungan baik sesama manusia.
Jadi... sebagai orang yang dibesarkan dalam lingkungan masyarakat majmuk, saya tahu semua orang berhak mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia (saya mendalami Perlembagaan Malaysia semasa disekolah rendah dahulu - Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris (Mubaligh) St Paul).
Saya ingin tegaskan kepada Puan bahawa sepengetahuan saya, tiadalah isu perkauman (rasisma) dibawa oleh mana-mana penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat sepertimana yang Puan katakan itu. Malah kalaulah saya boleh memuatkan senarai laman blog pro-UMNO (ramai diantara mereka ini adalah kawan-kawan baik saya) yang kuat memutarkan isu perkauman (rasisma), saya pasti akan menyenaraikannya untuk tatapan Puan. Mungkin Puan mendapat salah tanggapan hasil daripada input yang dihidangkan oleh media arus perdana seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang penuh putar belit dan fitnah.
Sebagai seorang yang terlibat dalam bidang akademik, Puan sewajarnya membuka mata dan telinga serta mendapatkan input dari pelbagai sumber tanpa berharap hanya pada Utusan Malaysia dan TV3.
Berkenaan dengan isu kenapa Pakatan Rakyat menolak keputusan PRU13, saya bertegas mengatakan bahawa Puan memang bukan seorang ahli akademik yang sejati bila mana Puan tidak dapat melihat sesuatu isu itu diluar kotak pemikiran biasa. Analisis Puan sekadar melepaskan "batok" di tangga (batok - adalah sesuatu pencedok yang digunakan untuk mengambil air dari tempayan dikaki tangga rumah Melayu klasik). Puan tidak dapat menghayati apa sebenarnya sebab penolakan keputusan PRU13. Mungkin Puan bukan rakyat Malaysia, jadi Puan mungkin tidak tahu apa sebenarnya yang rakyat Malaysia mahukan.
Puan mungkin tidak tahu (tidak belajar ilmu sejarah) bahawasanya Malaysia ini digagaskan dahulu dengan beberapa siri demonstrasi jalanan (tidak menggunakan stadium pada masa itu) seperti yang tercatat dalam sejarah. Ini boleh kita lihat di dalam siri demonstrasi jalanan membantah Malayan Union dan lain-lainnya. Jika Puan kurang mahir dalam bidang pensejarahan, sila dapatkan nasihat daripada Khoo Kay Kim (guru sejarah saya dahulu).
Berkenaan dengan tulisan Puan yang mengatakan bahawa masyarakat Malaysia telah menolak Pakatan Rakyat yang membawa slogan "Inikalilah" dan Puan memomokkannya dengan perkataan "Innalillah", saya beranggapan Puan terlalu naif tentang politik. Pakatan Rakyat mendapat undi popular yang lebih besar daripada Barisan Nasional, akan tetapi disebabkan oleh sistem persempadanan kawasan pilihanraya memperlihatkan ada kerusi yang mempunyai bilangan pengundi yang terlalu ramai (lebih 80 ribu orang) diletakkan sama taraf dengan kerusi yang mempunyai bilangan pengundi yang sedikit (kurang dari 2 ribu orang).
Oleh yang demikian, saya nasihatkan Puan Mashitah Binti Ibrahim supaya pergilah belajar banyak lagi ilmu berkaitan politik, kenegaraan dan kemasyarakatan sebelum Puan menulis lebih banyak berkaitan dengannya didalam akhbar Sinar Harian. Sesungguh Puan memalukan diri Puan sendiri dengan penulisan yang separuh masak.
Akhir kata, tolonglah jangan mengrekrut Tuhan dalam menjustifikasikan pandangan Puan. Sebagai orang akademik yang "kononnya" arif dengan ilmu agama, tentu Puan terlupa akan istilah dan maksud Istidraj. Jika Puan terlupa, saya nasihatkan Puan pergilah mencari guru yang mursyid untuk mendalaminya.
Sekian dari saya,
C++
CipanTapirTenuk